fbpx

Shah Firdaus sasar pingat di Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAH Firdaus menanam tekad dalam dirinya untuk menampilkan aksi terbaik selain berazam membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.

PELUMBA pasukan berbasikal Yayasan Sime Darby (YSD), Muhammad Shah Firdaus Sahrom enggan pulang tangan kosong pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Sebaliknya, dia yang akan melakukan penampilan pertama pada Olimpik tekad untuk menampilkan aksi terbaik selain berazam membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.

Pada temasya sukan empat tahun sekali itu, dia bersama seorang lagi jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Azizulhasni Awang akan menggalas misi besar menerusi acara pecut individu dan keirin.

“Ini adalah impian yang sudah menjadi kenyataan kerana saya berpeluang untuk membawa nama Malaysia pada kejohanan terbesar dunia seperti Olimpik. Saya sangat gembira dengan pencapaian ini.

“Terima kasih atas sokongan yang diberikan jurulatih John (Beasley), Azizulhasni, rakan sepasukan serta Yayasan Sime Darby. Saya akan tampilkan aksi terbaik pada Olimpik nanti dan mahu pulang dengan kejayaan,” katanya menerusi satu kenya­taan.

Sebagai rekod, pasukan berbasikal YSD membelanjakan RM2.6 juta untuk program Road to Tokyo membabitkan tiga pelumba termasuk Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Mohd. Zonis dan Anis Amira Rosidi meliputi 45 kejohanan antarabangsa serta lima kejohanan kebangsaan.

Sementara itu, Pengerusi YSD, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar menaruh sepenuh keyakinan gandingan Shah Firdaus dan Azizulhasni mampu mencipta sesuatu pada saingan di Tokyo nanti.

“YSD mengucapkan selamat maju jaya buat Shah dan Azizulhasni pada Sukan Olimpik nanti. Kami faham Olimpik kali ini sangat berbeza dan mungkin sukar untuk menyesuaikan diri.

“Bagaimanapun, kami yakin kedua-dua atlet ini serta seluruh kontinjen negara akan melakukan yang terbaik bagi membanggakan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI