PETALING JAYA – Pelakon terkenal Rozita Che Wan mengakui dia juga merupakan individu yang memilih jenis vaksin namun menyifatkan dirinya tidak boleh mementingkan diri terhadap apa jua jenis vaksin yang bakal diterimanya kelak.
Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta ketika dihubungi Kosmo! Juga menegaskan, adalah menjadi hak setiap individu untuk memilih jenis vaksin yang terbaik namun biarlah secara berpada-pada dan kena dengan situasi.
“Macam saya sendiri jujur saya katakan memang seorang yang penakut dan jenis memilih vaksin. Takut pada mulanya nak ambil vaksin secara sembarangan. Masakan tidak kan, benda (vaksin) itu nak masuk ke dalam badan kita pastilah kita risau.
“Tapi bukankah bermaksud saya memilih vaksin dan tolak mentah-mentah vaksin yang. Tidak sama sekali. Kalau dapat apa jenis vaksin sekali pun saya okey dan terima. Tapi siapa tak nak Pfizer kan. Dalam hal ini kita ikhtiar dan sama-sama bantu kerajaan,” katanya.
Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar walau bagaimanapun memberitahu hingga kini dia dan anak-anak masih belum mendapat sebarang janji temu untuk vaksinasi melainkan suaminya yang juga pelakon, Zain Saidin.
“Suami (Zain) seorang saja yang dah dapat tarikh janji temu. Hari ini (semalam), dia dah dapat vaksin jenis Sinovac. Dia pun jenis tak kisah apapun jenis vaksin yang diterima.
“Lagipun sebagai rakyat, jadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama berganding bahu dan melandaikan kes Covid-19 yang semakin memeningkan ketika ini,” ujarnya.
Terdahulu, pelakon drama Kak Marr itu memuat naik hantaran berhubung kerisauannya terhadap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) yang diarahkan tutup susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Che Ta mengakui berasa seperti sudah tidak selamat setelah mengetahui perkara tersebut.
“Betui-betui qasa tak selamat dah ni! (Betul-betul rasa tak selamat dah ni),” tulisnya menggunakan loghat Kedah.
Menjengah ruangan komerata-rata pengikut dilihat memberikan pelbagai pendapat dan kebanyakan daripada mereka turut melahirkan rasa gusar seperti yang dialami pelakon drama Kak Marr itu.
Hari ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bertindak menutup Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam ekoran penularan kes positif C0vid-19.
Untuk rekod, seramai 204 petugas PPV IDCC disahkan positif Covid-19 dan perkara tersebut dikenal pasti berpunca daripada ujian saringan beramai-ramai dilakukan terhadap kesemua 453 petugas di situ.
Orang ramai yang hadir untuk vaksinasi di IDCC Shah Alam pada 9, 10, 11 dan 12 Julai diminta melaksana kawalan kendiri selama 10 hari. – K! ONLINE