PETALING JAYA – Ramai rakyat menyuarakan rasa kecewa dan marah dengan peningkatan kes Covid-19 yang mencatatkan angka tertinggi sebanyak 11,079 jangkitan baharu, hari ini.
Tinjauan Kosmo! terhadap pelbagai saluran media sosial mendapati kesabaran rakyat kian menipis dengan kebanyakan mereka bagai hilang kepercayaan untuk melihat situasi akan berubah menjadi lebih baik dalam masa terdekat.
Kebanyakan pengguna media sosial turut menyifatkan usaha memerangi Covid-19 seperti Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seolah-olah tidak menunjukkan hasil yang memuaskan.
“Tidak payahlah PKP lagi. Kalau sudah asyik naik begini bagilah yang bekerja sendiri boleh bekerja. Tuan rumah sudah mahu halau keluar. Sewa, kereta perlu dibayar. Mati keras kalau terus begini,” luah Kay Nurhakim.
“Tanam benih mangga tetapi hendak hasil epal. Memang tidak masuk akal. Sudah tahu tindakan sekarang tiada hasil. Gunalah cara lain. Kluster tempat kerja meningkat. Tindakan sama saja,” komen Azi Usman Darmawi.
“Penat duduk berkurung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pun macam tiada apa-apa berubah. Sepatutnya awal-awal lagi buatlah seperti PKP 1.0 dulu. Tutup semua panggil Angkatan Tentera Malaysia berkawal biar semua orang takut,” kata Nur Faizah Mfj.
“Sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Maaf saya cakap, kita sudah terlambat. Jika dari dulu semua sektor tutup tidaklah seksa kita seperti sekarang,” luah Apis Peace.
“Kita masih belum gagal ya. Cuma kemenangan saja tertangguh. Tidak sampai-sampai lagi dari dulu kemenangan. ‘Lockdown’ dan PKPD nampaknya berkesan untuk memberi tekanan perasaan kepada rakyat yang duduk terkurung dalam rumah,” sindir Saiful Ceball.
“Tidak pernah komen sebelum ini. Pendam saja dalam hati. Adakah masa mengumumkan angka ini rasa seperti umum dapat dividen? Petanda apakah ini? Jangan ego. Jangan rasa hebat. Tolonglah buat sesuatu,” keluh Norliana Amin
Ada juga yang mendakwa lokasi pemberian suntikan vaksin yang agak jauh dari kediaman dikhuatiri menjadi punca merebaknya jangkitan Covid-19. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929