PETALING JAYA – Aplikasi perancang perjalanan, PULSE yang diperkenalkan kepada pengguna perkhidmatan rel dan bas Rapid KL kini diperluaskan fungsinya bagi kegunaan penumpang Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Datin Norlia Noah berkata, aplikasi PULSE itu turut melibatkan perkhidmatan bas dikendalikan Rapid Penang di kawasan Seberang Perai.
“Prasarana berasa teruja dengan perluasan fungsi perjalanan PULSE kini diaktifkan meliputi perkhidmatan bas yang dikendalikan oleh Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
“Dengan fungsi tersebut, PULSE akan memudahkan pengguna di Pulau Pinang dan Kuantan termasuk kawasan sekitarnya seperti Bandar Diraja Pekan untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik sekali gus mengoptimakan masa mereka dengan lebih produktif,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Norlia menjelaskan, sejajar dengan pelan digitalisasi tiga tahun PULSE, perkhidmatan tersebut akan dikembangkan dengan pelbagai inisiatif lain pada masa depan.
Aplikasi PULSE mempunyai beberapa fungsi penting bagi pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian seperti perancang perjalanan, penjejak waktu ketibaan masa sebenar untuk perkhidmatan bas dan rel, paparan notifikasi dan kalkulator tambang.
Sehingga kini, PULSE telah dimuat turun lebih 20,000 kali oleh pengguna pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang.
Aplikasi PULSE by Prasarana boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play.