MELAKA – Penduduk di mukim Batu Berendam di sini rata-rata meluahkan rasa bimbang dan takut, selain mengakui mulai berasa tertekan susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan perindustrian di situ.
Menurut seorang penduduk Taman Seri Jati, Muhammad Syahfei Mohamad, 29, dia yang menetap kira-kira empat kilometer dari kawasan perkilangan di situ, kini mengalami tekanan psikologi apabila terpaksa ‘berkurung’ dan berdepan risiko besar dijangkiti.
“Kami penduduk di Mukim Batu Berendam sangat takut, walaupun berada di rumah, saya sudah tidak rasa selamat kerana adik saya sendiri kini menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 yang bekerja di kawasan perindustrian itu.
“Di sini ramai yang bekerja kilang, jadi risiko untuk dijangkiti sangat tinggi. Itu membuatkan kami menjadi lebih tertekan,” katanya yang merupakan seorang pensyarah dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Katanya, dia berharap pihak kerajaan negeri dan Pusat mempertimbangkan untuk menutup keseluruhan kawasan perindustrian yang telah merekodkan kluster Covid-19.
Sementara itu, Zaiton Basri, 51, yang menetap di Taman Mas Merah di sini, turut meluahkan kebimbangan kerana dia masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Saya pernah bekerja di kawasan perindustrian berkenaan selama 10 tahun. Memang ramai pekerja asing yang berjalan kaki dan ke tempat awam selepas habis waktu bekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman menjelaskan, isu pembukaan dan operasi sektor industri adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan bukannya kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri cuba mengawal penularan dengan menggunakan kuasa di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 di mana kawasan wabak dan sektor yang ada kes tinggi akan dikenakan perintah penutupan maksimum 14 hari dan saringan semua pekerja,” katanya.