fbpx

Lepas diugut, peniaga nasi lemak doa pesaing murah rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar mesej ugutan yang diterima seorang penjual nasi lemak tular di media sosial sejak semalam.

PETALING JAYA – Meskipun menerima ugutan dan dilemparkan kata-kata kesat seorang peniaga nasi lemak mendapat pujian ramai apabila dia tetap mendoakan pesaing yang telah menuduhnya ‘membunuh’ perniagaan mereka.

Peniaga bernama Zainab Senin itu menerusi hantaran laman Facebook berkata, peniaga tersebut menghantar mesej mengadu jualannya merosot kerana wanita itu menjual nasi lemak pada harga murah.

“Peringatan aku hendak bagi dekat engkau. Aku tahu nasi lemak engkau tiada nama. Jangan nanti engkau tiada nama di atas dunia ini pula.

“Tidak faham semua orang susah. Engkau tambahkan lagi susah orang. Memang orang akan beli nasi lemak engkau yang murah itu sebab orang tiada duit,” kata penghantar mesej tersebut.

Begitupun Zainab berkata, dia tidak marah mendapat mesej berkenaan sebaliknya menyifatkan perkara itu sebagai menyedihkan.

“Saya minta maaf kepada peniaga itu dan sesiapa sahaja yang bersangkut paut. Saya berniaga tiada niat lain. Terserah kepada mereka hendak beli daripada saya atau orang lain,” katanya.

Zainab ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia tidak mahu lagi memanjangkan perkara berkenaan dan berharap semua urusan mereka yang terjejas pendapatan dipermudahkan.

“Kakak tulis hantaran itu dengan niat untuk minta maaf kepada peniaga-peniaga lain yang terkesan dengan jualan nasi lemak murah kakak. Tidak sangka lain pula jadinya.

“Moga murah rezeki peniaga-peniaga semua. Kakak tidak berani baca komen-komen yang orang berikan. Takut orang marah pada kakak,” ujarnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI