ANDORRA, Perancis – Pelumba Amerika Syarikat (AS), Sepp Kuss melakukan kejutan apabila meraih kemenangan pertama pada perlumbaan berbasikal Tour de France (TdF) selepas melakukan henjutan bertenaga pada pendakian terakhir di peringkat ke-15 kelmarin.
Pelumba Jumbo-Visma tersebut berjaya berpecah daripada kumpulan 32 pelumba pada pendakian terakhir di Port d’Envalira dan Col de Bexailis sekali gus meninggalkan pelumba berusia 41 tahun, Alejandro Valverde (Movistar team) di kedudukan kedua.
Hasil kemenangan itu, Kuss yang berasal dari Colorado muncul selaku pelumba AS pertama menjuarai perlumbaan tersebut musim ini sejak Tyler Farrar melakukannya pada tahun 2011.
“Saya akui hilang kata-kata dengan kemenangan ini dan sejujurnya saya benar-benar menderita ketika bersaing dalam perlumbaan ini. Saingan ini sangat menguji mental dan fizikal setiap pelumba.
“Pada perlumbaan tersebut, saya tahu peluang yang ada pada pendakian terakhir, jadi saya cuba melakukan pecutan lebih awal. Jika berjaya melakukannya dan dapat bertahan hingga akhir, ia adalah peluang terbaik untuk muncul juara.
“Saya berjaya melakukannya dan kemenangan ini memberi motivasi kepada saya. Saya masih tidak percaya berada pada perlumbaan TdF apatah lagi meraih kemenangan peringkat perlumbaan.
“Saya harap kemenangan ini dapat memberi semangat untuk meneruskan perjuangan dalam baki pusingan perlumbaan di TdF,” katanya.
Sementara itu, juara bertahan, Tadej Pogacar mengekalkan jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan ketika pencabar lain mula mengancamnya.
Perlumbaan hari ini akan berehat sebelum peringkat ke-16 diteruskan pada esok yang akan bermula dari Pas De La Case ke Saint-Gaudens melibatkan perjalanan sejauh 169 kilometer. – AGENSI