fbpx

Keane label pemain senior The Three Lions pengecut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAKA (tengah) menjadi pemain kelima yang mengambil sepakan penalti, namun ia berjaya diselamatkan Donnarumma sekali gus menyaksikan England tewas. – AFP

LONDON – Bekas pemain le­genda Manchester United, Roy Keane melabel tonggak senior skuad England sebagai ‘pengecut’ selepas membiarkan pemain remaja, Bukayo Saka untuk mengambil sepakan pe­nalti terakhir ketika menyaksikan pasukan tewas kepada Itali pada final Euro 2020 awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Wem­bley itu, tiga pemain England, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal menjaringkan gol menerusi penentuan sepakan penalti sekali gus menyaksikan England tewas 2-3 selepas saingan berkesudahan 1-1 pada masa tambahan.

Kata Keane, Saka yang mewakili pasukan Arsenal masih belum sesuai untuk memikul tanggungjawab mengambil sepakan penalti sebaliknya tugas itu wajar diberikan kepada pemain lebih senior seperti Raheem Sterling atau Jack Grealish.

“Jika saya adalah Sterling atau Grealish, saya tidak akan membiar­kan Saka mengambil tanggungjawab tersebut sebaliknya tampil ke depan memandangkan anda mempunyai pengalaman lebih lama dalam arena bola sepak khususnya Sterling.

“Bukan saya nak menafikan kemampuan Saka, tetapi apa yang dilakukan oleh pemain-pemain senior England ini adalah sesuatu yang tidak wajar kerana melepaskan tanggungjawab mereka,” katanya.

Sementara itu, pemain le­genda England, Gary Neville turut senada dengan Keane selepas mengakui agak terkejut apabila Saka menjadi pilihan untuk mengambil sepakan penalti kelima yang cukup penting itu.

“Kita mungkin jangka Sterling atau Grealish yang akan ambil penalti sebelum Saka, namun sebaliknya telah berlaku. Mungkin (Gareth) Southgate ada alasan tersendiri mengenai situasi Sterling tetapi Grealish tidak pernah mengambil sepakan penalti untuk kelabnya (Aston Villa) dalam tempoh dua tahun,” katanya.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI