AMSTERDAM, BELANDA – Seorang remaja berjaya memecahkan Guinness World Records apabila menjadi juruterbang termuda mengelilingi dunia secara solo selama 44 hari merangkumi jarak penerbangan sejauh 40,234 kilometer (km), lapor portal berita MailOnline hari ini.
Travis Ludlow,18, tiba di Belanda awal pagi ini (waktu tempatan) selepas memulakan penerbangannya di negara itu pada 29 Mei lepas.
Remaja berasal dari Buckinghamshire, England itu terbang selama lapan jam dalam hari-hari pengembaraannya. Dia mengemudi pesawat ringan jenis Cessna 172 N5010.
Ada masanya, Ludlow terbang sejauh 1,609 km sehari tanpa berhenti.
Pengembaraan dalam memecahkan rekod dunia itu menyaksikan dia berhenti di 13 negara iaitu Belanda, Poland, Rusia, Amerika Syarikat , Kanada, Greenland, Iceland, Britain, Ireland, Sepanyol, Maghribi, Perancis dan Belgium.
Bagi memecahkan rekod dunia kategori tersebut, Ludlow perlu melakukan penerbangan sejauh sekurang-kurangnya 39,461 km. Dia melepasi jarak tersebut apabila tiba di Gibraltar, Sepanyol selepas berlepas dari Donegal, Ireland.
“Mendarat di Gibraltar adalah satu impian yang menjadi kenyataan kerana saya sering berhasrat untuk pergi ke situ.
“Lebih mengujakan adalah ia berlaku pada hari sama saya mencapai jarak keseluruhan penerbangan sejauh 40,189 km, iaitu 114 km melebihi ukur lilit Bumi pada garisan Khatulistiwa,” katanya.
Disebabkan pesawat yang diterbangkannya hanya mempunyai keupayaan maksimum untuk terbang pada ketinggian 4,877 meter (m), ia memberi kelebihan kepada Ludlow untuk menikmati pemandangan indah di sepanjang perjalannya.
Bukan itu sahaja, remaja itu juga perlu bergelut dengan cuaca buruk termasuk ribut, salji dan olakan udara di kawasan pergunungan yang boleh menyebabkan pesawatnya terhempas dalam masa hanya beberapa saat.
“Ia agak memenatkan. Selepas beberapa minggu terbang keseorangan, saya mula dibelenggu rasa sunyi serta rindu kepada keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.
Rekod sebelum ini dipegang oleh seorang remaja yang juga berumur 18 tahun dari negeri Louisiana, AS pada tahun 2018. – AGENSI