LONDON – Bekas penyerang Itali, Alessandro Altobelli berpuas hati kerana seluruh peminat England akhirnya ‘terdiam’ menyaksikan pasukan itu tersungkur di pentas final Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Altobelli, 65, gembira kerana kemenangan 3-2 Itali menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 telah membuktikan England bukan pasukan paling hebat di dunia seperti didakwa rata-rata penyokong tegar pasukan itu.
“Kemenangan ke atas England di Wembley sangat bermakna. Ia telah memperlihatkan pasukan mana yang lebih hebat, berbakat dan mempunyai corak permainan menarik.
“England merasakan mereka adalah pasukan yang paling hebat ketika ini. Namun, mereka lupa dalam kabinet cuma ada piala berkarat yang dimenangi pada 1966.
“Cuba anda pergi lihat kabinet kami pula, penuh dengan trofi,” kata pemenang Piala Dunia 1982 bersama Itali itu.
Altobelli menjelaskan, The Azzurri turut mencipta beberapa sejarah baharu dalam perjalanan menjuarai gelaran Euro seperti Leonardo Bonucci muncul pemain tertua menjaringkan gol pada aksi final pada usia 34 tahun dan 71 hari. – AGENSI