PETALING JAYA – Tanggal 13 Julai sentiasa terpahat dalam ingatan Adam Corrie Lee Abdullah sebagai detik manis dalam hidupnya sebagai titik tolak penghijrahannya memeluk agama Islam, 14 tahun lalu.
Dedah lelaki berbangsa Tionghua itu, dia nekad memeluk Islam selepas mendapat petunjuk menerusi mimpi sebaik terjaga daripada tidur ketika azan Subuh sedang berkumandang.
“Saya masih ingat lagi pada waktu pagi sekitar pukul pukul 3 hingga 4 pagi, 13 Julai 2007 iaitu 14 tahun lalu, yang ketika itu saya belum kembali pada fitrah (menganut Islam). Tapi saya nekad inginkan kehidupan yang lebih baik.
“Saya berdoa meminta pada Allah; Ya Allah, sekiranya agama Islam adalah pegangan agama aku hingga mati, berikanlah aku petunjuk.” katanya.
Aktor yang terkenal dengan watak antagonis itu memperingati peristiwa mendapat hidayah, genap 14 tahun lalu menerusi satu hantaran Facebook miliknya bertepatan tarikh 13 Julai, semalam.
Sebelum memeluk Islam, Adam difahamkan pernah mendedahkan bahawa dahulu dia seorang atheis iaitu individu yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.
Menurut Adam Corrie lagi, selepas mendapat petunjuk dalam mimpi itu, pada hari sama dia terus pergi ke Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) untuk proses memeluk Islam.
“Paginya, saya terus pergi ke Perkim untuk mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Amran Abdullah pada usia saya 39 tahun.
“Alhamdulillah. Allah telah berikan taufik dan hidayah kepada hamba-Nya yang mencari kebenaran dalam hidup ini.
“Semoga Allah terus kekalkan iman dan istiqamah dalam Islam kepada diri saya dan kita semua,” katanya yang kini mencecah usia 52 tahun.
Perkongsian bintang KL Gengster itu meraih pelbagai komen syahdu daripada pengikut laman sosialnya yang rata-rata terkesan dengan kisah penghijrahannya.
Ada yang berpendapat perubahan kehidupan dilaluinya memberi 1001 makna, sekali gus dirasakan wajar untuk dijadikan contoh kepada insan lain.
Ramai turut memuji bintang KL Gangster itu yang tampak ganas dan kasar dalam naskhah lakonan, namun hakikatnya, keperibadian Adam Lee sangat berbeza terutama selepas berhijrah.
Selain KL Gangster 1 dan 2, Adam Lee sudah membintangi lebih daripada 30 filem termasuk Spinning Gasing, Pontianak Harum Sundal Malam serta Evolusi KL Drift 2.
Menyingkap kerjaya lalu, sebagai kareografer tarian profesional, khidmatnya turut digunakan dalam program realiti nyanyian terbitan Astro, Akademi Fantasia bagi musim kedua dan keempat.
Aktif dalam misi keagamaan dan kerja amal, pada tahun 2017 Adam dipilih sebagai Tokoh Saudara Kita peringkat Selangor bersempena sambutan Maal Hijrah 1439.
Dari segi kehidupan peribadi pula, rumahtangga yang dibina dengan Fazema Mohd Fuad pada 2008 dikurniakan seorang cahaya mata, Adam Fateh Lee. – K! ONLINE