fbpx

Aduan tertinggi tidak terima barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERMINTAAN produk menerusi jualan secara online semakin meningkat dari semasa ke semasa terutama di masa negara masih dilanda pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Sebanyak 186 aduan berhubung perkhidmatan kurier diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak Januari hingga 30 Jun lalu.

Jumlah keseluruhan kerugian yang dikemukakan pelanggan menerusi aduan itu adalah RM97,008.92.

Aduan tertinggi yang direkodkan adalah membabitkan pe­langgan tidak menerima bara­ngan yang dipesan sebanyak 94 kes, bungkusan hilang (33), barang rosak (14) dan barang dalam bungkusan berbeza daripada yang sepatutnya (8).

Masalah paling banyak diadukan mengenai per­khidmatan kurier seterusnya adalah lima kes barangan dalam bungkusan hilang dan empat kes bagi tuntutan semula bayaran.

Secara keseluruhannya terdapat 29 jenis aduan termasuk penghantar membaling bungkusan ke dalam rumah, tidak menghantar barang ke rumah penerima dan tidak meletakkan barang di tempat yang selamat.

Menterinya, Datuk Seri A­lexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memandang serius kesemua aduan itu dan siasatan mengenainya dilakukan secara terperinci kerana melibatkan hal kepenggunaan.

“Kita bukan sahaja menyiasat untuk mendapatkan keadilan bagi pihak pengguna tetapi mencari penyelesaian agar kejadian sama tidak berulang,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Alexander, untuk tujuan itu, KPDNHEP turut be­kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi mencari pendekatan terbaik.

Jelas beliau, perkhidmatan kurier adalah di bawah bidang kuasa KKMM, manakala masalah berkaitan kepenggunaan pula diuruskan KPDNHEP.

Tambahnya, isu berhubung perkhidmatan kurier perlu diperhalusi sehabis baik kerana membabitkan kepentingan ramai pihak.

“Beri peluang kepada kedua-dua kementerian untuk memperhalusi tindakan atau cada­ngan bagi menyelesaikan isu ini.

“Langkah dibuat bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya sehingga menjejaskan sumber pencarian bagi mereka yang bergantung pendapatan dengan perkhidmatan kurier,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI