fbpx

Periksa lebih teliti elak individu berisiko masuk PPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA – Setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diarahkan supaya membuat pemeriksaan lebih teliti di setiap pintu masuk PPV agar tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beberapa langkah segera perlu diambil PPV apabila menerima laporan kehadiran individu positif Covid-19 termasuk menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit tersebut dan melaksanakan saringan ke atas petugas.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai yang telah melakukan ujian Covid-19 supaya lebih bertanggungjawab dan tidak hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi tidak mendapat keputusan ujian masing-masing.

“Selain itu, orang ramai diseru mengamalkan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika berada di PPV,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Integriti dan Siasatan telah ditubuhkan di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi menyiasat isu penjualan slot janji temu vaksinasi.

Menurutnya, jawatankuasa itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC).

“CITF telah bekerjasama dengan PDRM seawal Jun lalu bagi menyiasat isu ini. Malah, satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan Standby List telah dikuatkuasakan di PPV untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

“Pemantauan di PPV ini akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan suntikan vaksin yang telah melepasi tarikh luput, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu adalah tidak benar dan secara ringkasnya, tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu tersebut sebenarnya adalah tarikh luput vaksin yang telah diberikan untuk dos pertama.

“Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang telah diperiksa,” katanya.

Katanya, kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara ini berlaku dan tarikh luput vaksin yang sebenar akan dikemas kini ke dalam MySejahtera bagi individu yang terlibat. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI