JERANTUT – Prihatin dengan penduduk yang kehilangan pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong sekumpulan penduduk Kampung Jerantut Feri di sini mewujudkan ‘Rak Bantuan Makanan Jalinan Ukhuwah’ di kampung itu.
Program kebajikan itu menyasarkan penduduk khususnya dalam kalangan penoreh getah, pekebun, nelayan sungai, pengusaha kecil dan buruh yang cukup terkesan akibat pelaksanaan PKP.
Penyelaras projek, Rozmizal Mat Lia berkata, dia dan beberapa penduduk bersepakat mengumpulkan dana serta barang keperluan dapur melalui dana sendiri selain sumbangan penduduk.
“Kita amat kasihan dan tidak sanggup melihat penduduk yang terputus bekalan makanan bersusah payah tercari-cari bantuan barang keperluan dapur dan peralatan kebersihan diri dalam tempoh PKP dan PKPD di bandar Jerantut.
“Atas keprihatinan setelah melihat senario kesusahan penduduk kita telah berusaha sehingga berjaya mengumpulkan dana berjumlah hampir RM3,000 pada peringkat awal,” katanya di Kampung Jerantut Feri di sini hari ini.
Menurut Rozmizal, daripada dana yang ada mereka menyediakan barang makanan yang dapat dimanfaatkan untuk seramai 77 orang penduduk yang benar-benar terjejas.
Katanya, penduduk yang benar-benar memerlukan barang keperluan boleh datang ke rak bantuan ukhuwah kampung itu untuk mengambil barangan keperluan. -K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929