RIO DE JANEIRO – Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez mengakui tidak dapat menahan sebak apabila berjaya membantu pasukan menjuarai trofi Copa America 2021 selepas menewaskan seteru tradisi, Brazil dengan keputusan 1-0 di Stadium Maracana pagi semalam.
Aksi cemerlang dipamerkan membolehkan Martinez dipilih menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik kejohanan susulan kejayaannya merekodkan empat perlawanan tanpa bolos selain hanya dibolosi tiga gol sepanjang tujuh perlawanan.
Malah, penjaga gol pasukan Aston Villa itu turut mencipta sensasi tersendiri selepas menjadi wira bagi memastikan Argentina menang pada aksi separuh akhir menewaskan Colombia menerusi penentuan sepakan penalti.
Kata Martinez, perjalanan kariernya sebelum diterima menjadi penjaga gol No. 1 Argentina cukup panjang dan perit selain mendedikasikan prestasi cemerlangnya sepanjang kempen ini buat kapten pasukan, Lionel Messi.
“Saya tidak tahu untuk memberi komen apa selepas berjaya memastikan kemarau 28 tahun pasukan Argentina berakhir. Secara jujur, perjalanan karier saya sangat mencabar kerana saya telah berhijrah ke England bersama Arsenal pada usia 17 tahun.
“Hanya selepas 10 tahun kemudian, saya diberi kepercayaan untuk menjadi penjaga gol No. 1 bagi kelab selepas berhijrah ke Aston Villa dan kini tanggungjawab itu diteruskan bersama skuad Argentina.
“Namun, jika ada pilihan, saya mahu semua pujian ini diberikan kepada Messi yang lebih layak untuk diangkat sebagai wira negara kami kerana apa yang telah dia lakukan sepanjang tempoh 16 tahun akhirnya terbayar,” kata penjaga gol berusia 28 tahun itu.
Argentina sebelum ini telah mengalami rentetan kekalahan di pentas final termasuk saingan Copa America 2007, 2015 dan 2016 selain Piala Dunia 2014 menyebabkan Messi dikritik hebat apabila masih belum memiliki sebarang kejuaraan bersama Argentina . – AGENSI