BALIK PULAU – Tiga nelayan pantai dipercayai penagih dadah sanggup terjun ke dalam laut bagi mengelak diberkas polis di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung di sini semalam.
Tindakan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu akhirnya tersungkur apabila mereka diberkas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi Op Sarang mulai pukul 7 pagi.
Operasi tersebut dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dengan kerjasama PPM dari Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Barat Daya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi berkata, lelaki terbabit antara 24 nelayan terdiri daripada warga tempatan, Thailand dan Myanmar.
Menurutnya, kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 26 hingga 45 tahun itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bayan Baru bagi menjalani ujian saringan air kencing.
“Daripada 24 orang tersebut, 17 daripadanya telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan tiada dokumen pengenalan diri.
“Dalam operasi tersebut, ada dalam kalangan nelayan terbabit bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut namun berjaya diberkas dan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau memberitahu, kesemua tangkapan akan disiasat di bawah Seksyen 39B,12(3), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(3) Akta imigresen 1959/63. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929