LONDON – Seorang pelajar jurusan fesyen mencipta bengkung untuk lelaki yang akan memberikan mereka ‘bentuk tubuh V’, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Zdenek Lusk, 22 dari Republik Czech yang kini menuntut di Universiti Nottingham Trent mendapat idea mencipta bengkung untuk lelaki selepas menyedari ramai pengunjung gimnasium yang mahukan bahu besar dan lebar, namun pinggang yang ramping.
Dia mereka bengkung daripada pelekat fius dengan tulang plastik dibaluti anyaman.
Ia juga dilengkapi tali elastik di bahagian belakang bagi menggantikan tali tradisional yang membolehkan pemakai mengetatkan atau melonggarkan bengkung untuk mendapatkan penampilan yang diingini.
Bercakap dengan majalah FEMAIL, Lusk berkata, bentuk V itu adalah apa yang cuba dihasilkan oleh bengkung tersebut.
“Ia menolak keluar bahu pemakai dan menghasilkan bentuk segi tiga.
“Pemakaian bengkung lelaki adalah untuk menyerlahkan lagi bentuk badan sasa mereka,” katanya.
Bengkung ciptaan Zdenek akan dipamerkan dalam pertunjukan reka bentuk dan seni musim panas Universiti Nottingham Trent. -Agensi