SEBERANG PERAI – Wanita yang mati dibunuh suaminya sebelum lelaki itu menggantung diri di rumah mereka di Taman Kimsar, Prai di sini merupakan jiran yang baik selain tidak mempunyai masalah dalam perhubungan.
Seorang bekas jiran pasangan itu yang mahu dikenali sebagai Rani berkata, dia tidak pernah melihat pasangan itu bergaduh besar sepanjang 11 tahun hidup berjiran.
Katanya, walaupun mereka jarang bertegur, namun lelaki berkenaan seorang yang baik hati, ceria dan kadangkala gemar berkaraoke di rumah.
“Sepanjang kira-kira 11 tahun berjiran, mereka baik-baik sahaja. Jika ada pergaduhan kecil, itu perkara biasa seperti pasangan lain.
“Saya terkejut dengan berita itu kerana sudah enam bulan berpindah dari situ. Mungkin kejadian itu berlaku akibat masalah peribadi mereka selain tekanan akibat situasi sekarang (PKP),” katanya kepada Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: Tikam isteri sebab cemburu sebelum bunuh diri
Menurut bekas jiran berusia 30-an tersebut lagi, mangsa wanita dikatakan mempunyai pekerjaan sebelum ini, manakala suaminya tidak bekerja.
Sementara itu, seorang jiran yang mahu dikenali sebagai Tan berkata, mereka tidak mendengar sebarang bunyi pertengkaran dari rumah pasangan itu sehinggalah terkejut dengan kehadiran anggota polis kira-kira pukul 3 petang.
“Apa yang saya tahu lelaki itu pernah bergelar seorang master karate, namun kami sudah lama tidak berhubung. Saya tidak tahu apa yang berlaku antara pasangan itu,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki warga emas menikam isterinya dengan sebilah pisau sehingga mati sebelum menggantung diri dalam kejadian di rumah mereka di Taman Kimsar, Prai di sini kelmarin.
Lelaki itu dikatakan menikam isterinya sebanyak tiga kali iaitu pada leher, dada dan perut di dalam bilik sebelum dia disyaki menggantung diri di bahagian dapur rumah.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, kejadian berkenaan dipercayai kerana perasaan cemburu dan perselisihan faham pasangan itu.