fbpx

Pura-pura beri bantuan sebelum curi barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Seorang suspek lelaki berpura-pura ingin memberikan bantuan bekalan makanan kepada suri rumah sebelum bertindak melarikan barang kemas wanita itu bernilai RM7,000 di Taman Desa Air Merbau, Jasin kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, mangsa yang berusia 54 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 10.20 malam mendakwa telah disamun suspek pada pukul 11 pagi, hari sama.

Katanya, mengikut laporan dibuat, mangsa dikatakan mengenali suspek menerusi aplikasi sosial TikTok sejak dua minggu lalu sebelum lelaki itu memberitahu ingin memberikan bantuan bekalan makanan.

“Suspek telah datang ke rumah mangsa kononnya ingin membawa wanita terbabit ke pasar raya bagi membeli barang keperluan dijanjikan.

“Lelaki itu bagaimanapun kemudian membuat helah untuk masuk ke rumah mangsa sebelum bertindak melarikan barang kemas suri rumah berkenaan bernilai kira-kira RM7,000,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Ujarnya, sepanjang awal tahun ini pihaknya telah menerima dua laporan kejadian curi menggunakan modus operandi sama.

“Memandangkan ramai terjejas akibat pandemik Covid-19 ini, muncul individu berniat jahat dengan mengambil kesempatan menghubungi atau datang ke rumah mangsa berpura-pura ingin memberikan bantuan sebelum melakukan jenayah curi atau samun.

“Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan diminta untuk mendapatkan bantuan dari saluran yang betul dan tidak memberikan butiran peribadi seperti nama dan alamat melalui media sosial kepada individu tidak dikenali,”katanya.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhamad Fadzlan di talian 018-3511594 bagi membantu siasatan. – K! ONLINE.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI