fbpx

Itali juara Euro 2020, England rebah di bumi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPTEN Itali, Giorgio Chiellini (tengah) bersama rakan-rakan sepasukan menjulang kejuaraan selepas The Azzurri muncul juara Euro 2020 pada aksi final di Stadium Wembley, London sebentar tadi. - AFP

LONDON – Rekod kebal tanpa kalah pasukan Itali berterusan ke-34 perlawanan apabila menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas keputusan terikat 1-1 pada aksi final Euro 2020 di Stadium Wembley sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad Itali kendalian Roberto Mancini masih mengekalkan kesebelasan yang sama seperti ketika menewaskan Sepanyol di peringkat separuh akhir minggu lalu.

Skuad Three Lions yang dibimbing oleh Gareth Southgate pula mencipta kelainan dengan menggunakan formasi 3-4-3 apabila meletakkan pemain pertahanan kanan tambahan, Kieran Trippier dalam kesebelasan utama.

Keputusan tersebut ternyata memihak buat pasukan tuan rumah yang berjaya menjaringkan gol menerusi ledakan Luke Shaw seawal minit ke-2 selepas menyudahkan hantaran Trippier.

PEMAIN pertahanan England, Luke Shaw (tengah) melakukan rembatan untuk menjaringkan gol pembukaan pada aksi final Euro 2020 antara Itali dan England di Stadium Wembley, London sebentar tadi. -AFP

Tersentak dengan gol tersebut, skuad The Azzurri memperkemaskan corak permainan dengan memberi tumpuan pada aspek penguasaan bola dan berjaya mengekang serangan balas yang dilakukan oleh pasukan lawan.

Malah, pemain sayap sensasi Itali, Federico Chiesa turut memiliki peluang keemasan tetapi beberapa rembatan yang dilakukannya pada babak pertama sedikit tersasar.

Bersambung separuh masa kedua, Chiesa telah melakukan gerakan yang cukup menarik untuk mengelirukan benteng pertahanan England tetapi sepakan derasnya berjaya ditepis penjaga gol, Jordan Pickford pada minit ke-57.

Pickford akhirnya tertewas berselang 10 minit kemudian selepas keadaan kucar-kacir di bahagian pertahanan hasil sepakan penjuru sebelum Leonardo Bonucci memanfaatkan peluang terhidang tersebut.

PEMAIN pertahanan Itali, Leonardo Bonucci (tengah) meraikan jaringan penyamaan pada aksi final Euro 2020 antara Itali dan England di Stadium Wembley, London sebentar tadi. -AFP

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha untuk memburu gol kemenangan tetapi wisel penamat 90 minit sudah ditiupkan oleh pengadil untuk memaksa saingan diheret ke masa tambahan.

Pada masa tambahan, England yang menduduki ranking ke-4 dunia terus mengasak kubu Itali tetapi rembatan yang dilakukan oleh pemain tengah, Kalvin Philipps gagal menguji penjaga gol, Gianluiggi Donnaruma.

Itali juga memiliki peluang menerusi rembatan percuma yang dilakukan oleh pemain gantian, Federico Bernardeschi tetapi sepakannya tepat ke arah Pickford dan akhirnya perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Domenico Berardi, Bonucci, Bernardeschi berjaya menyempurnakan sepakan penalti, manakala sepakan Jorginho dan Andrea Belotti pula ditepis oleh Pickford.

Harry Kane, Harry Maguire pula meledak gol buat skuad Three Lions tetapi Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal memberikan jaringan yang diharapkan selain mudah diselamatkan oleh Donnaruma.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Itali berjaya meraih trofi paling berprestij Eropah buat kali kedua sejak edisi 1968.

England pula terus kemarau kejuaraan antarabangsa apabila gagal meraih sebarang kejayaan dalam tempoh 55 tahun sejak memenangi Piala Dunia pada edisi 1966. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI