KUALA LUMPUR – Kes perbicaraan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini esok.
Ia berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Guan Eng untuk kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, sebarang persoalan undang-undang boleh ditangani dan diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
Kata beliau, Hakim Mahkamah Sesyen juga mempunyai kelayakan undang-undang dan sangat berpengalaman untuk membicarakan kes terhadap pemohon.
“Hakim juga mempunyai kebolehan dan mampu menangani sebarang persoalan undang-undang yang berbangkit. Mahkamah mendapati pemohon gagal mematuhi 417(1)(d) Kanun Acara Jenayah. Sehubungan itu, notis pemohon ditolak,” katanya.
Sejurus mendengar keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng kemudian memohon mahkamah membenarkan penangguhan kes di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata pihaknya membantah permohonan tersebut memandangkan pendakwaaan sudah menyusun saksi-saksi untuk perbicaraan pada minggu ini.
Ujarnya, saksi-saksi yang dipanggil bukan datang dari negeri Selangor dan Negeri Sembilan, sebaliknya dari Pulau Pinang. – K! ONLINE.