fbpx

Fikry Ibrahim tak suka jolokan hero tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIKRY IBRAHIM

PETALING JAYA – Pelakon Fikry Ibrahim enggan dirinya dilabel sebagai hero tua pada masa hadapan biarpun mahu terus bekecimpung dalam industri lakonan sehingga lanjut usia.

Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, isu tersebut dekat dengan dirinya kerana sedar suatu hari nanti dia juga akan berusia sebagaimana barisan pelakon senior lain ketika ini.

“Saya tertanya-tanya juga kerana isu hero tua ini berkait dengan saya. Andai suatu hari saya akan sampai ke tahap itu (berusia), saya tidak suka orang melabel saya sebagai hero tua.

“Hero adalah hero dan usia adalah usia. Jika kita tidak menghargai bakat orang lama bagaimana industri lakonan tempatan mahu berkembang.

“Nanti apabila usia sudah mencapai angka 60 tahun maknanya sudah cukup, pencen dan tidak perlu berlakon? Sebagai pelakon saya bimbang akan kedudukan saya pada masa depan,” kongsi Fikry.

Tambah Fikry, pelakon senior wajar dihormati kerana pengalaman yang dimiliki bukannya dipandang sebelah mata apabila mereka semakin berusia.

“Saya tahu dan sedar, memang tidak boleh menjadi jutawan jika bekerja sebagai pelakon melainan mereka memiliki perniagaan atau kerjaya lain.

“Rata-rata mereka yang terus kekal dalam industri hanyalah kerana minat dan mahu lakonan mereka memberi manfaat kepada orang lain,” ujar Fikry.

Fikry berkata demikian bagi menjawab isu hero tua yang dibangkitkan dalam sidang akhbar drama bersiri Ayahanda yang berlangsung secara maya sebentar tadi.

Dalam drama tersebut aktor Jalil Hamid menjayakan watak utama dalam naskhah 13 episod yang diadaptasi daripada novel berjudul Ayahanda nukilan Allahyarham Azizi Abdullah.

Selain Jalil Hamid dan Fikry, drama yang bersiaran setiap Rabu sehingga Sabtu pukul 9 malam di TV3 itu turut dilakonkan oleh Fauziah Datuk Ahmad Daud, Noorkhiriah, Shahz Jaszle dan Hairi Safwan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI