ALOR GAJAH – Nasib seorang duda ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja menanggung sakit akibat kemalangan tetapi dicekup polis selepas keluar hospital kerana memiliki dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, lelaki berusia 43 itu dirawat di Hospital Alor Gajah kerana terbabit dalam kemalangan di Brisu.
Pemeriksaan pada beg pinggang suspek menemui beberapa paket lutsinar dipercayai dadah sebelum melaporkan kepada polis pada Jumaat lalu.
“Sebelum dicekup, suspek terlibat kemalangan selepas motosikalnya terbabas dipercayai menunggang dalam keadaaan khayal sebelum dihantar ke hospital,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Suspek yang merupakan duda kemudian ditahan sebaik keluar wad pada pukul 10.30 malam, hari sama.
“Kita menjumpai 13 paket dipercayai heroin seberat 47.30 gram, lima paket disyaki syabu seberat 15.35 gram, sembilan biji pil Erimin 5.
“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya.
Ujian saringan air kencing menunjukkan suspek positif morfin dan mempunyai tujuh rekod kes dadah.
Suspek direman tujuh hari sehingga 16 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1)/12(2)/15(1)(a) akta sama. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929