PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara ketika ini menyebabkan aktiviti harian masyarakat terbatas.
Langkah berkenaan terpaksa diambil oleh pihak kerajaan bagi memutuskan rantaian pandemik global Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
Sekatan tersebut merangkumi aspek sosial, ekonomi, pendidikan, malah aktiviti merentas negeri dan daerah terhad kepada tujuan tertentu sahaja.
Pelaksanaan PKP 3.0 juga menyebabkan kanak-kanak termasuk golongan autisme terpaksa berkurung serta menjalankan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Selepas hampir dua bulan berkurung di dalam rumah, keadaan mental dan fizikal kanak-kanak pastinya terjejas kerana tidak bebas melakukan aktiviti seperti sebelum ini.
Kanak-kanak sepatutnya menghabiskan masa dengan pelbagai aktiviti berfaedah termasuk di luar
rumah bersama rakan-rakan bagi menstabilkan mental dan fizikal mereka.
Menyedari hakikat itu, Persatuan Kebajikan A Plus (A Plus) telah memperkenalkan kempen khas buat
kanak-kanak khususnya golongan autisme iaitu Autism SourDough (ASD).
A Plus merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang aktif menganjurkan pelbagai program dan kelas
pendidikan kepada kanak-kanak autisme di negara ini.
Pengasas A Plus, Dr. Khew E Joon berkata, pihaknya ingin mengajak kanak-kanak terutamanya golongan
autisme untuk sama-sama terlibat membuat roti sourdough.
“Idea kempen ini datang daripada saya sendiri selepas memikirkan kesan dihadapi oleh kanak-kanak ketika PKP. Jadi, saya rasa terpanggil untuk memperkenalkan kempen ini menerusi laman sosial A Plus.
“Menerusi kempen ASD, kami ingin mengajak kanak-kanak terutamanya mereka yang autisme
belajar menghasilkan roti sourdough di rumah sepanjang tempoh PKP 3.0 ini.
“Ia sedikit sebanyak dapat membantu mendidik dan mendisiplinkan kanak-kanak autisme ketika di rumah, sekali gus mengelak mereka bertindak secara agresif,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.
Menariknya, pembuatan roti sourdough hanya melibatkan tiga bahan utama iaitu tepung gandum organik, air dan garam.
Menurut Dr. E Joon, proses membuatroti yang popular dalam kalangan masyarakat Eropah itu bermula dengan penghasilan starter atau yis organik.
Jelasnya, yis yang terhasil perlu digaulkan bersama tepung gandum dan air bagi menghasilkan doh sebelum dibiarkan semalaman, seterusnya dibakar di dalam ketuhar.
“Proses penghasilan roti ini melibatkan penerapan ilmu secara tidak sedar. Salah satunya adalah berkaitan sains melalui proses penapaian dan penyediaan yis.
“Ia juga dapat mendidik kanak-kanak erti kesabaran kerana proses penghasilan yis dan doh memakan
masa seminggu sebelum boleh dibakar di dalam ketuhar,” jelasnya lagi.
Roti yang dihasilkan bukan sahaja enak dijamah, malah ia turut mengandungi probiotik baik untuk membantu proses penghadaman dan usus kanak-kanak.
Hasil penyelidikan dilakukan oleh sebuah universiti di Barat menunjukkan, lebih 50 peratus kanak-kanak mengalami masalah usus dan penghadaman.
Mengulas lanjut, Dr. E Joon berkata, pihaknya turut memperkenalkan sourdough ke dalam pembelajaran bagi membantu perkembangan sensori kanak-kanak autisme.
Pada masa sama, pihaknya juga merancang untuk membina sebuah kedai fizikal ASD pertama
bagi membantu mengajar, melatih dan memasarkan roti itu.
Katanya, sourdough merupakan alternatif lebih baik daripada roti yang terdapat di pasaran ketika ini.
Pasaran sourdough global dijangka meningkat pada kadar peningkatan 5.7 peratus dari 2019
hingga 2025 sehingga mencapai AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion).
Salah seorang peserta projek ASD, Khew Yap, 6, berkata, dia begitu teruja selepas berjaya membuat roti
sourdough sendiri dengan bantuan ahli keluarga.