MADRID – Kapten bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga selepas pasukannya tersingkir awal dari kejohanan Euro 2020, akhir bulan lalu.
Menerusi kemas kini Instgaramnya baru-baru ini, Ronaldo terbang ke sebuah destinasi rahsia di Sepanyol bersama teman wanita, Georgina dan empat anaknya iaitu Cristiano Jr., si kembar Mateo dan Eva serta Alana dengan menaiki pesawat jet peribadi.
Mereka berenam dirakam bersantai di atas sebuah kapal layar mewah dan menikmati cuti musim panas yang menimbulkan rasa cemburu peminat seluruh dunia.
“Masa untuk yang tersayang,” tulis Ronaldo ringkas pada gambar keluarga yang dirakam ketika percutian.
Selain gambar keluarga, bintang Kelab Juventus ini juga tidak ketinggalan menayang badan sasanya untuk tatapan peminat.
“Anda sudah bekerja keras jadi kini masa untuk merehatkan badan,” tulis seorang peminat dengan tanda berbentuk hati.
“Berehat sebentar dan kembali dengan tenaga baharu,” komen seorang lagi. – Agensi