PETALING JAYA – Kematian pelakon Benjy Ibrahim akibat serangan asma semalam masih menjadi bualan terutamanya dalam kalangan rakan artis.
Ujar pelakon Liyana Jasmay, kematian Benjy membuatkan dia teringat sikap pelakon tersebut terutama ketika sedang bekerja di set penggambaran.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Liyana menyifatkan Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim sebagai seorang pelakon yang mempunyai disiplin tinggi ketika berada di set penggambaran.
“Al-Fatihah. Saya masih ingat lagi tentang abang Benjy (panggilan Liyana kepada Benjy). Ketika orang lain masih makan dan ketawa di set penggambaran, abang sudah bersedia di lokasi dengan jiwa karakter yang akan dibawa.“Abang akan pastikan diri abang telah bersedia untuk membawa sesuatu karakter dan apabila pengarah menyebut ‘action’, abang akan memberikan sepenuh jiwa kepadanya (lakonan) hanya untuk babak tersebut,” ujar Liyana.
Biarpun Benjy disifatkan memiliki disiplin yang tinggi dan kelihatan serius ketika bekerja, namun disebalik watak itu, Liyana memberitahu bahawa dia sebenarnya merupakan seorang yang kelakar.
“Mengenali abang Benjy, dia merupakan seorang yang kelakar sebenarnya,” kongsi Liyana.
Tambah pelakon yang terkenal menerusi filem Papadom itu, dia selalu memerhatikan cara kerja Benjy ketika berada di set penggambaran dan mengambilnya sebagai contoh untuk diri sendiri supaya menjadi seorang pelakon yang bagus.
“Saya selalu memerhati dan menjadikan Benjy sebagai contoh dengan selalu bersedia ketika berada di lokasi penggambaran. Abang adalah satu dalam sejuta.
“Saya doakan abang Benjy dikurniakan Jannah (syurga). Amin,” tulis Liyana.
Allahyarham Benjy yang juga anak kepada seniwati Allahyarham Azean Irdawatiy dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Medan Indonesia semalam akibat serangan asma.
Jenazah Benjy selamat dikebumikan di Pemakaman Waqaf Pasar 4, Klambir Lima, Kampung Medan, Indonesia sekitar pukul 11 pagi tadi (waktu tempatan). -K! ONLINE