LONDON – Pemain tengah Itali, Marco Verratti percaya England akan lebih merasai tekanan disebabkan insiden sepakan penalti kontroversi ketika meraih kemenangan untuk mara ke pentas final Euro 2020 di Wembley awal pagi esok.
The Three Lions dikritik hebat selepas Raheem Sterling didakwa merebahkan badan untuk meraih sepakan penalti yang disempurnakan Harry Kane ketika menewaskan Denmark 2-1 pada aksi separuh akhir baru-baru ini.
Bagaimanapun, Verratti, 28, mengakui, England sememangnya lebih berhak mara ke final berbanding Denmark berdasarkan kualiti para pemain.
“Kami menyaksikan perlawanan itu (England, Denmark). England adalah sebuah pasukan yang berfizikal dan mempunyai pemain dengan kualiti bagus ketika memegang bola.
“Mereka bertuah kerana diberikan sepakan penalti. Jika saya pengadil, saya tidak akan memberikannya sepakan itu.
“Ia akan menjadi final bersejarah. Kami mahu menang dan meletakkan semula Itali berada pada tempat yang sebenar,” katanya.
Pemain tengah Paris Saint-Germain itu dijangka terus diberikan kepercayaan berada dalam kesebelasan utama mengemudi bahagian tengah Itali bersama-sama bintang Chelsea, Jorginho dan Nicolo Barella dari Inter Milan.
Ketiga-tiga pemain itu berjaya membentuk persefahaman dan keserasian mantap antara mereka dengan memastikan penguasaan permainan menjadi milik Itali kecuali ketika menentang Sepanyol.
Bagaimanapun, The Azzurri masih berjaya menewaskan Sepanyol dengan kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada separuh akhir baru-baru ini. – AGENSI