KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tetap meletakkan tiga jenis sukan iaitu badminton, berbasikal dan terjun sebagai prospek untuk menyumbang pingat pada temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Jepun yang bakal membuka tirainya pada 23 Julai ini.
Bagaimanapun, menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak menolak kemungkinan sukan lain juga mampu melakukan kejutan di Tokyo.
“Selepas melakukan perjumpaan dengan atlet, saya bukan hanya memberi amanat tetapi juga mendengar isi hati 30 wira dan wirawati negara yang akan berjuang di temasya Sukan Olimpik Tokyo. Apa yang saya lihat, mereka cukup bersemangat tinggi untuk mencapai kejayaan di sana.
“Terdapat sembilan jenis sukan atlet kita bertanding dan prospek pingat masih bersandarkan kepada tiga sukan iaitu badminton, berbasikal dan terjun. Bagaimanapun, tiada yang mustahil untuk sukan lain untuk melakukan kejutan.
“Apa pun saya kena realistik bahawa tiga sukan ini mempunyai peluang terbaik untuk menyumbangkan pingat buat negara, tetapi kita mahu semua atlet pergi ke Tokyo dan melakukan yang terbaik.
“Tidak bermakna kejayaan hanya dengan membawa pulang pingat tetapi jika dapat memecahkan rekod kebangsaan, rekod sendiri dan perbaiki ranking, itu juga satu kejayaan untuk negara,” katanya dalam sesi sidang akhbar secara maya selepas perjumpaan dengan semua atlet ke Tokyo hari ini.
Tambahnya, terdapat beberapa negara termasuk Singapura tidak mengumumkan sasaran pingat untuk dibawa pulang oleh kontinjen mereka susulan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
“Singapura sudah umum tidak ada sasaran pingat diletakkan tetapi saya janji dalam masa seminggu kita akan umumkan perkara tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Chef de Mission (CDM) Datuk Lee Chong Wei mengingatkan para atlet untuk menjaga diri supaya bebas daripada dijangkiti Covid-19 sebelum berlepas ke Tokyo .
“Jika dulu kita hanya fikir bebas daripada kecederaan namun cabaran atlet kali ini lebih besar dan berlipat ganda kerana selain fikir kecederaan mereka perlu fikir untuk bebas daripada dijangkiti Covid-19,” jelasnya. K! ONLINE