SHAH ALAM – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu melaksanakan segera garis panduan untuk tidak membenarkan majikan menjadikan pangsapuri atau flat awam sebagai asrama pekerja asing.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, sebarang kelewatan dalam melaksanakan garis panduan itu hanya akan mengundang masalah selain mencetuskan lebih banyak jangkitan Covid-19.
Katanya, garis panduan berkaitan perkara itu sebenarnya telah ada, namun hanya akan dikuatkuasakan kepada permohonan baharu pada tahun depan.
“Gesaan ini adalah bagi memudahkan kawalan kepada pekerja asing yang dikatakan antara punca peningkatan Covid-19 di satu-satu lokaliti.
“Di bawah KPKT, kita mengesa supaya dibuat polisi baharu berhubung kewajaran penempatan pekerja asing ini. Antara garis panduan yang telah dinyatakan adalah permohonan baharu untuk tinggal di pangsapuri kos rendah adalah tidak dibenarkan.
“Kerajaan negeri juga telah meneliti garis panduan tersebut dan bersetuju mengguna pakai perkara itu. Bagaimanapun, yang menjadi keprihatinan kita mengapa implementasinya tidak disegerakan.
“Saya takut gelombang ini (Covid-19) akan berulang-ulang dan paling tidak pencegahan awal dapat kita laksanakan,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! semalam yang mendedahkan mengenai situasi di rumah-rumah flat dan pangsapuri di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang didakwa berisiko untuk menjadi lubuk jangkitan Covid-19.
Menurut Rodziah, Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Gombak yang menjadi kawasan perindustrian kini dihuni oleh kira-kira 1.2 juta pekerja asing.
Justeru, pihaknya tidak menafikan pangsapuri dan rumah flat menjadi pilihan majikan untuk menempatkan pekerja kerana kos sewa yang murah.
“Kerajaan negeri turut menyarankan kepada Kerajaan Persekutuan supaya isu penempatan diambil kira dan diselesaikan sebelum membuat pengambilan pekerja asing termasuklah dengan cara memperluaskan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).
“Isu lainnya ialah penempatan pekerja asing selalunya tidak didaftarkan. Seharusnya, syarat dikenakan kepada majikan supaya mendaftar tempat tinggal pekerja asing masing-masing.
“Ketika ini, tiada komitmen oleh majikan dan kalau tinggal di asrama itu lebih bagus,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta masyarakat yang tinggal di pangsapuri agar menjalankan tanggungjawab dengan mengikuti norma baharu selain tidak melarikan diri apabila dipanggil menerima vaksinasi.
Kosmo! semalam mendedahkan mengenai keadaan rumah-rumah flat dan pangsapuri di Kuala Lumpur dan Selangor yang berpotensi menjadi lubuk kepada penularan Covid-19.
Antara faktor yang dikaitkan dengan penularan itu adalah kepadatan penduduk di satu-satu penempatan sehingga penghuni tempatan terpaksa berkongsi kemudahan dengan pekerja asing yang menyewa di kawasan berkenaan.