LONDON – Penyerang Itali, Ciro Immobile perlu menjadikan aksi final bertemu England di Wembley awal pagi esok sebagai peluang terbaik menutup mulut pengkritik yang mempertikaikan prestasinya sepanjang Euro 2020.
Immobile, 31, bermula garang apabila meledak dua gol dan mencetak satu umpanan jaringan dalam dua perlawanan pertama, namun segala-galanya berubah selepas itu apabila dia terus ‘kemarau’ jaringan sehingga sekarang.
Ejen Immobile iaitu Alessandro Moggi menegaskan, dia kecewa dengan layanan tidak adil dilemparkan terhadap penyerang prolifik Lazio itu hanya disebabkan kurang menjaringkan gol pada Euro 2020.
“Saya rasa sangat menjengkelkan apabila dengar orang mengutuk Ciro (Immobile). Dia tidak perlu membuktikan apa-apa sebenarnya kerana dia telah memperlihatkan segala-segala yang dia ada dalam kariernya ketika ini.
“Saya bengang dan marah kerana Immobile tidak akan mendapat layanan istimewa biarpun jika dia dapat menjaringkan dua gol dalam setiap perlawanan.
“Jangan bandingkan dia dengan bekas-bekas penyerang Itali yang pernah menjaringkan 30 hingga 40 gol. Ciro terus kekal dalam kesebelasan utama sebab dia layak untuk meraihnya,” kata Moggi.
Situasi semasa pastinya membakar semangat Immobile untuk membuktikan ketajaman dengan merobek gawang England yang kini sudah menjaringkan tujuh gol dalam 13 penampilan terakhirnya bersama The Azzurri.
Sebagai rekod, Immobile pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak liga-liga di Eropah dengan 36 gol daripada 37 perlawanan Serie A pada musim 2019/2020. – AGENSI