KUALA NERUS – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka meninggal dunia akibat pendarahan di dalam kepala di rumahnya di Kampung Kedai Tepoh di sini malam tadi.
Muhd. Adham Hazim Muhd. Rizaini, 19, yang merupakan pelajar semester kedua jurusan Diploma Kejuruteraan Awam menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 10.52 malam.
Ayahnya, Mohd. Rizaini Ghazali, 51, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu merangkak ke biliknya untuk meminta pertolongan pada pukul 5 pagi.
“Dia mengadu sakit kepala yang amat sangat. Saya bergegas membawa anak saya yang tidak sedarkan diri ke Unit Kecemasan HSNZ, Kuala Terengganu.
“Doktor memberitahu keadaan anak saya agak kritikal kerana dua urat kepalanya putus sebelum disahkan meninggal dunia pada malam tadi (semalam),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Rizaini memberitahu, Muhd. Adham Hazim sering tidur lewat sejak akhir-akhir ini untuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester tidak lama lagi.
Jenazah Muhd. Adham Hazim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Berangan, Tepoh di sini pada pukul 11 pagi tadi.
Kosmo! hari ini melaporkan Nur Natasya Ezreen Azemi,22, yang merupakan pelajar UiTM Merbok, Sungai Petani, Kedah meninggal dunia selepas pengsan ketika menyiapkan kerja kursus kelmarin. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929