KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memberi kelonggaran kepada pihak masjid bandar, jajahan atau mukim untuk menambah tempat penyembelihan haiwan korban di lokasi lain.
Yang Dipertua Maik, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kelonggaran itu dilakukan berikutan pihaknya menerima maklumat terdapat masjid yang tidak dapat memenuhi syarat ditetapkan selain menerima permintaan tinggi melebihi had maksimum.
Katanya, tempat penyembelihan tambahan tersebut dikehendaki menepati syarat utama iaitu perlu dikawal selia pihak masjid berkenaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini.
“Tempat itu perlu dalam kawasan berpagar dengan keluasan sekurang-kurangnya 10 meter persegi, bersih, selamat dan tidak berhampiran saliran awam. Jumlah maksimum haiwan tidak melebihi lima ekor sehari atau 20 ekor dalam tempoh empat hari bermula 20 hingga 23 Julai ini.
“Aktiviti sembelihan juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia dan aktiviti korban persendirian atau keluarga tetap tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929