SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri terkilan apabila anak perempuan mereka yang sering mengadu tertekan dengan kerja kursus dan jadual pembelajaran yang padat meninggal dunia ketika dirawat di hospital kelmarin.
Nur Natasya Ezreen Azemi, 22, yang mengambil jurusan pengurusan dan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Merbok di sini itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira pukul 2.50 petang.
Ibu allahyarham, Zuraimi Mohd. Desa, 52, berkata, anaknya pernah mengadu terbeban dengan kerja kursus yang terlalu banyak sejak enam bulan lalu.
“Arwah anaknya tidak mempunyai sebarang penyakit, namun sering mengadu sakit kepala kerana dibebani dengan kerja kursus yang perlu disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sintok Bugis, Kota Kuala Muda dekat sini semalam.
Nur Natasya disahkan meninggal dunia di HSAH di sini kelmarin selepas pengsan di rumah sewanya di Merbok ketika sedang menyiapkan kerja kursus pada pukul 3 pagi Khamis lalu.
Kematiannya mengundang spekulasi apabila ramai pelajar berkongsi mengenai kejadian itu di laman Twitter sehingga kes tersebut menjadi sohor kini semalam.
Menurut Zuraimi, arwah anaknya juga pernah mengeluh kerana tidak dapat menghadiri kelas bersemuka ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Tambahnya, Nur Natasya sering berkata dia mahukan kelas bersemuka kerana senang untuk bertanya kepada pensyarah jika ada yang dia tidak faham mengenai subjek yang dipelajarinya.
Sementara itu, bapanya, Azemi Ibrahim, 55, berkata, dia terus menghubungi ambulans sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan serumah anaknya pada pukul 3 pagi.
“Kami tidak sempat bertemu dengannya sehingga dia meninggal dunia pada petang Jumaat iaitu selepas 11 jam diberikan rawatan di HSAH dan doktor beritahu terdapat pendarahan dalam kepala anak saya.
“Kali terakhir kami bertemu dengannya ialah enam bulan lalu ketika pulang menjenguk kami di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu. -K! ONLINE