fbpx

Kane azam mahu setanding Moore

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE (tengah) berharap dia dan rakan sepasukannya yang lain tidak melepaskan peluang untuk merangkul kejuaraan pada aksi final kali ini. – AFP

LONDON – Kapten England, Harry Kane memasang impian untuk mengikut jejak langkah legenda pasukan itu, Bobby Moore de­ngan menjulang trofi kejuaraan pada kejohanan utama.

Moore dianggap sebagai kap­ten England terhebat sepanjang zaman apabila mengetuai pasukan itu memenangi Piala Dunia 1966 di Wembley dengan menewaskan Jerman Barat di perlawanan akhir.

Justeru, Kane berharap dia boleh membantu England menamatkan penantian selama 55 tahun untuk memenangi kejohanan utama apabila turun menentang Itali pada perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley awal pagi esok.

Memandangkan itu adalah peluang terbaik England untuk menjulang trofi kejuaraan, Kane menggesa rakan sepasukan supaya tidak mensia-siakan peluang tersebut, lebih-lebih lagi turun beraksi di laman sendiri.

“Apabila nama anda disebut bersama legenda seperti itu (Moore), sudah tentu ia memberi keyakinan serta pembakar semangat untuk membantu pasukan realisasikan impian menjulang trofi kejuaraan kali ini.

“Sudah tentu ia akan jadi satu pencapaian yang hebat kerana sudah lama kami menantikannya. Ini adalah peluang terbaik untuk kami merangkul trofi tersebut.

“Semua pemain juga sedar ini adalah peluang untuk kami memenangi trofi kedua dalam sejarah bola sepak England. Sudah tentu kami sangat bangga untuk menyarung jersi pasukan ini,” kata pemain Tottenham Hotspur itu.

Meskipun teruja dapat me­langkah ke perlawanan akhir, namun Kane berharap rakan sepasukan kekal merendah diri serta memberikan aksi terbaik memandangkan lawan mereka di final bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah.

“Kami semua sedar kami akan berdepan cabaran yang sangat sukar pada perlawanan itu nanti, namun semua pemain percaya dengan kemampuan masing-masing. Inilah peluang terbaik untuk kami capai impian sejak kecil.

“Saya yakin peluang adalah seimbang untuk kedua-dua pasukan, namun mereka mungkin ada kelebihan dari segi pengalaman. Apa yang pasti, kedua-dua pasukan akan berikan segala-galanya kerana ini adalah perlawanan akhir,” ujar Kane. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI