LONDON – Pemain pilihan ketujuh, Matteo Berrettini melakar sejarah apabila muncul selaku perseorangan lelaki pertama Itali mara ke perlawanan akhir Wimbledon selepas mempamerkan aksi cukup cemerlang dengan menumbangkan Hubert Hurkacz dari Poland 6-3, 6-0, 6-7, 6-4.
Pemain berusia 25 tahun tersebut memerlukan dua jam 36 minit untuk mengatasi Hurkacz yang sebelum ini melakukan kejutan menewaskan Roger Federer di peringkat suku akhir Wimbledon.
Hasil kemenangan tersebut, pemain ranking ke-9 dunia itu bakal membuat perhitungan mencabar apabila dijadual berdepan pemain No.1 dunia, Novak Djokovic di pentas final nanti.
“Sukar untuk ungkapkan dengan kata-kata kerana melangkah ke pentas final terutama di Wimbledon adalah impian saya sejak kecil lagi.
“Minggu ini adalah hari minggu yang bersejarah dan istimewa untuk menyaksikan pertembungan final antara sukan tenis dan bola sepak final Euro 2020 di antara England dan Itali.
“Bagi saya ia sesuatu yang luar biasa kerana ramai tidak menjangkakan saya mampu melangkah ke final dan menjadi pemain lelaki Itali pertama beraksi di perlawanan akhir Wimbledon.
“Apa pun, perjalanan saya masih belum selesai dan impian saya adalah untuk meraih trofi kemenangan di Wimbledon. Kini saya perlu melakukan persiapan untuk berdepan Djokovic,” katanya. – AGENSI