fbpx

Skuad muda Harimau Malaya miliki sinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIM SWEE (kiri) mengesahkan FAM akan mempertaruhkan skuad B-20 kendalian Brad Maloney bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia Oktober depan.

PELUANG untuk skuad bawah 23 tahun (B-23) negara mara ke pentas kejuaraan Piala Asia B-23 2022 nampak cerah selepas diundi dalam Kumpulan J bersama dengan Thailand, Laos dan Mongolia selaku tuan rumah.

Pada sesi undian kelayakan yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan semalam, harapan skuad muda Harimau Malaya untuk mara ke pusingan akhir secara automatik pada tahun depan terbuka luas tetapi dengan syarat perlu bergelar juara kumpulan.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) te­lah memutuskan untuk tidak menghantar kelompok pemain B-22 sebaliknya mempertaruhkan skuad B-20 kendalian Brad Maloney bagi menghadapi kempen kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia pada Oktober depan.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, keputusan itu dibuat sejajar dengan aspirasi jangka panjang FAM bagi skuad B-23 kebangsaan menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Keputusan ini telah pun dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Kelompok pemain ini (B-20 dan ke bawah) akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu ­kelayakan ­Pi­a­la Asia B-23 2022 dan kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada 2023, selain dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam dan Kemboja.

“Justeru, kelompok pemain ini bakal menimba banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad muda Malaysia adalah bersaing pada Piala Asia B-23 edisi 2018 di China sebelum tewas kepada Korea Selatan di peringkat suku akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI