BALIK PULAU – Seorang lelaki warga emas di Gertak Sanggul di sini cedera selepas rumahnya ditimpa sebatang pokok durian yang tumbang hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu membabitkan sebatang pokok durian yang dianggarkan berusia 50 tahun.
“Kejadian dikatakan berlaku ketika angin kencang, manakala penghuni berusia 63 tahun yang berada di bahagian dapur rumah ketika kejadian hanya cedera ringan,” katanya hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, kejadian membabitkan sebatang pokok durian tanpa buah setinggi kira-kira enam meter dengan ukur lilit dua meter.
“Bomba yang menerima panggilan pada pukul 2.40 petang membuat kerja-kerja pemotongan batang pokok dan memastikan dalam keadaan selamat.
“Operasi turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela berdekatan sebelum operasi itu ditamatkan pada pukul 5.08 petang,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929