fbpx

Musang king tetap raja buah ‘kayangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BALIK PULAU – Durian raja kunyit atau lebih dikenali sebagai musang king tetap menjadi pilihan utama dalam kalangan pe­minat tegarnya walaupun muncul variasi baharu jenis tupai king selain durian duri hitam yang turut popular di ­negeri ini.

Rata-rata peniaga durian yang ditemui Kosmo! semalam memberitahu, durian musang king (D197) yang didaftarkan di Jabatan Pertanian pada tahun 1993 itu masih berada pada kedudukan teratas bagi buah jenis premium atau ‘kayangan’.

Sebelum ini, durian tupai king dikatakan telah mengalahkan kehebatan duri hitam apabila ramai penggemar raja buah itu dikatakan mula mengalihkan tumpuan terhadap variasi baharu tersebut.

Seorang peniaga durian yang hanya mahu dikenali sebagai Kenny, 34, berkata, majoriti pe­langgannya yang juga peminat baharu tupai king kini kembali meminati musang king.

Menurutnya, penggemar durian mula beralih tumpuan selepas mereka telah merasai sendiri tupai king yang menjadi sebutan ramai ketika ini.

“Ramai pelanggan saya mengatakan durian musang king adalah yang terbaik dan berada di tangga teratas jika hendak dibandingkan dengan tupai king atau duri hitam.

“Sebelum ini, mereka (peminat fanatik musang king) sanggup mengubah selera dengan memilih tupai king kerana mahu mencuba variasi baharu itu biarpun harganya mahal berbanding musang king,” katanya.

Kenny memberitahu, ramai pelanggannya berpendapat, rasa asli buah durian sebenar terdapat pada musang king kerana rasanya berlemak, tekstur halus, sedikit pahit dan isi tebal berbanding tupai king yang mempunyai rasa manis dan pahit.

Katanya, permintaan durian musang king ketika ini semakin meningkat, namun malangnya pengeluaran di dusun Balik Pulau pula telah berkurangan.

Harga terkini musang king dijual antara RM40 hingga RM60 sekilogram, manakala tupai king antara RM85 hingga RM90 sekilogram dan duri hitam pula mencecah RM100 sekilogram.

“Stok durian tupai king juga berlaku pengurangan dan hanya boleh diperoleh daripada pemilik dusun antara sebiji hingga dua biji sehari,” ujarnya.

Seorang lagi pembekal durian di sini, Roselina Abdul Rahman, 51, pula berkata, permintaan musang king dalam kalangan pe­langganya masih tinggi berban­ding durian premium lain.

“Tempahan duri hitam dan tupai king tidak banyak disebabkan harganya mahal. Kebanyakan pelanggan kini memilih buah yang mampu milik atau beli. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI