GEORGE TOWN – Polis hari ini menafikan sebuah video kejadian ragut beg tangan seorang pelanggan wanita yang didakwa berlaku di sebuah pasar raya di daerah Timur Laut di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong menerusi satu kenyataan berkata, video menerusi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) itu telah menjadi tular dalam media sosial Facebook dan WhatsApp sejak semalam.
Menurutnya, video berdurasi 29 saat itu memaparkan kejadian seorang lelaki berbaju hitam bertindak menarik beg tangan seorang pelanggan wanita secara agresif semasa mangsa sedang berurusan di kaunter pembayaran.
“Hasil semakan pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku di pasar raya Dataran Quantong di San Gabriel, Los Angeles dan bukannya di daerah Timur Laut.
“Kita menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan apa-apa video atau maklumat yang belum dapat dipastikan kesahihannya,” katanya di sini.
Terdahulu, penyebaran video tersebut telah mendapat pelbagai kecaman sekali gus mengundang kebimbangan dalam kalangan warga net berhubung kejadian jenayah yang berlaku ketika rakyat sedang bergelut dengan penularan pandemik Covid-19. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929