MILAN – Gergasi Itali, AC Milan dilaporkan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan dengan mendapatkan khidmat penyerang Chelsea, Olivier Giroud.
The Rossonerri terpaksa akur perlu membayar yuran perpindahan kepada Chelsea yang bertindak melanjutkan kontrak setahun Giroud supaya mereka tidak kehilangan bintang Perancis itu secara percuma.
Difahamkan, Milan bersetuju untuk membayar pendahuluan €1 juta (RM4.95 juta) kepada Chelsea sebelum tambahan €1 juta (RM4.95 juta) pada tahun berikutnya.
The Blues dikatakan tiada masalah untuk melepaskan Giroud, 34, bagi membuka ruang kepada penyerang baharu dalam buruan mereka seperti Erling Braut Haaland dari Borussia Dortmund atau kapten Tottenham Hotspur, Harry Kane.
Selain Giroud, Milan juga sedang berusaha untuk mendapatkan seorang lagi pemain Chelsea iaitu Tiemoue Bakayoko menerusi urusan pinjaman sebelum membeli secara tetap dengan nilai yang lebih murah.
Ejen Bakayoko, Andy Bara menjelaskan, pemain tengah berusia 26 tahun itu teruja untuk meneruskan kariernya di Itali selepas pernah menyarung jersi Milan pada 2019 sebelum bersama Napoli musim lalu.
“Bakayoko mahu menyertai Milan yang akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pemain sepertinya. Cuma buat masa ini dia masih terikat kontrak dengan Chelsea,” kata Bara.
Perpindahan itu dijangka tetap berlaku memandangkan Milan mempunyai hubungan baik dengan Chelsea kerana pernah membeli, Fikayo Tomori dengan harga €34 juta (RM168.42 juta) bulan lalu.
– AGENSI