fbpx

Eyka Farhana tutup dulu soal cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EYKA FARHANA

ORANGNYA genit, miliki pesona tersendiri dengan raut wajah keanak-anakan, namun kejelitaannya tetap menyerlah.

Sejak berusia 16 tahun ketika kali pertama diperkenalkan sebagai pelakon menerusi drama bersiri fenomena, Juvana sehingga kini, kelibatnya masih manis.

Bezanya, daripada peranan kecil, nama Eyka Farhana sudah mula menampakkan pengaruh apabila semakin mendapat kepercayaan penerbit menjayakan watak-watak utama.

Lebih sedekad dalam industri, Eyka semakin lincah mengukuhkan nama, namun dalam masa sama menjadi bekalan untuk serelevan mungkin bagi 10 tahun akan datang selagi bakatnya diterima umum.

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi juga mengakui, masih belum puas beraksi di hadapan kamera dan mencuba pelbagaikan watak dalam lakonan.

Pelakon berusia 26 tahun itu menolak dakwaan sudah pandai jual mahal dan mula selektif terutama ketika ditawarkan watak-watak tipikal yang ‘wajib’ ada dalam hampir kebanyakan naskhah drama televisyen tanah air.

“Saya tidaklah terlalu selektif sebenarnya. Maksud saya kalau diberi peluang, saya ingin keluar daripada ‘kepompong’ watak sama dalam lakonan.

“Tetapi saya tidak boleh menolak andai ditawarkan watak sebegitu dan akan menerimanya sebab berlakon adalah punca rezeki saya,” kata pelakon berusia 26 tahun itu.

MENGAKUI terkilan, Eyka bagaimanapun akur bahawa keputusan menarik diri daripada menjalani penggambaran drama Pretty Little Liars musim kedua di Indonesia sebagai satu langkah yang rasional memandangkan kes Covid-19 di negara itu juga semakin parah.

Keluar ‘kepompong’

Kata Eyka lagi, dia sebenarnya teringin untuk membawakan watak yang lain daripada kebiasaan dan sesuatu yang mencabar diri sendiri.

Ujarnya, selepas sekian lama mencipta nama sebagai pelakon, sudah tiba masanya untuk keluar dari zon selesa atau watak-watak klise, namun dia tidak boleh terlalu memilih dalam soal rezeki.

Menjawab tentang watak yang diidamkan, Eyka berkata, dia pernah membawakan watak jahat atau antagonis menerusi drama Kerana terbitan RTM dan mengakui berasa cukup puas bermain dengan watak tersebut.

“Selain membawakan watak antagonis, saya juga teringin untuk membawakan satu watak 360 darjah berbeza dengan karakter diri sendiri.

“Walaupun penat untuk membawakan watak berat, tetapi saya puas dengan cabaran sebegitu kerana perlu bermain dengan emosi, intonasi suara dan bahasa tubuh,” katanya.

ENGGAN dikatakan terlalu selektif dalam memilih watak, pelakon kecil molek ini tetap menerima apa jua tawaran yang datang kerana lakonan adalah periuk nasinya.

Terkilan

Peluang untuk melebarkan sayap sehingga ke luar negara juga pastinya menjadi impian bagi setiap pemain industri.

Peluang yang dianggap keemasan itu pula tidak selalunya hadir. Namun, dek kekangan tertentu, kadangkala peluang sebegitu juga adakalanya terpaksa dilepaskan demi kebaikan diri dan orang sekeliling.

Itulah dilema yang terpaksa dilalui Eyka apabila dia terpaksa melepaskan peluang penglibatan dalam sebuah penggambaran drama berjudul Pretty Little Liars musim kedua di Indonesia.

Bukan disebabkan kekangan masa, tetapi peluang itu terpaksa dilepaskan begitu sahaja atas faktor keselamatan ekoran pandemik Covid-19.

Mengikut perancangan asal, penggambaran drama tersebut sepatutnya bermula pada 25 Jun lalu.

“Sepatutnya saya telah terbang ke Indonesia pada 1 Jun lalu dan akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum memulakan penggambaran.

“Bagaimanapun, disebabkan kerisauan terhadap risiko jangkitan Covid-19, saya terpaksa batalkan pembabitan dalam drama tersebut.

“Kalau mahu tangguhkan penggambaran pun tidak boleh sebab saya masih ada komitmen drama di Malaysia,” katanya.

Disebabkan isu berkenaan, watak yang pernah dijayakan Eyka iaitu sebagai Ema dalam musim pertama drama tersebut terpaksa digantikan oleh pelakon lain dari Indonesia.

“Nampaknya untuk musim kedua nanti, tiada lagi kelibat lakonan saya memainkan peranan watak Ema. Sayang memang sayang, tapi mahu buat macam mana lagi.

“Kalau ikutkan, 90 peratus persiapan sudah dilakukan. Tetapi saya risau jika saya ke Jakarta, bagaimana dengan kerja saya di sini,” katanya.

Eyka me­ngakui agak kecewa apabila terpaksa melepaskan peluang tersebut yang dianggap sukar diperolehi pelakon tempatan untuk menempah nama di luar negara.

“Saya tetap berfikiran positif dan menganggap mungkin ada rezeki lain untuk saya. Apa yang saya rugi adalah saya tidak dapat teruskan hajat untuk mengembangkan nama di Indonesia.

“Tetapi tidak mengapa, saya masih berfikiran positif dan me­nganggap ada hikmah atas apa yang telah berlaku,” katanya.

BERCITA-CITA untuk membuka perniagaan sendiri, namun Eyka perlu memikirkan strategi dan bentuk produk yang ingin dikeluarkan.

Kejar impian

Ditanya tentang aktiviti yang dilakukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) dan PKP Diperketatkan kini, Eyka sama seperti artis lain, segala aktiviti penggambaran termasuk program televisyen terpaksa dihentikan buat sementara.

Fokusnya tertumpu terhadap media sosial dengan melakukan ulasan produk dan komitmen lain.

Dia ada terfikir juga untuk membuat perniagaan sendiri, namun hajat tersebut tidak kesampaian tanpa ilmu dan keseriusan di dada.

Bercakap soal hati, hubungan Eyka dengan pemain bola sepak kebangsaan dan Kelab Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid sudah bukan lagi rahsia.

Bagaimanapun, Eyka lebih selesa untuk tidak menggembar-gemburkan hubungan mereka. Dia selesa untuk tidak terlalu menonjol.

Kata Eyka, hubungan dengan Akhyar juga berjalan lancar, masih berkawan seperti biasa dan tidak ada sebarang masalah antara mereka.

“Kami masih berkawan seperti biasa. Tidak ada apa-apa masalah pun. Dalam media sosial pun kalau saya rasa nak tunjuk, saya akan tunjuk.

“Saya pun rasa semua orang dah tahu. Cuma saya lebih selesa untuk tidak terlalu menonjol,” katanya.

Tambah Eyka, buat masa ini masing-masing masih lagi ada impian yang hendak dikejar demi cita-cita masa hadapan.

“Masing-masing dalam fasa mengejar impian dan saling menyokong antara satu sama lain,” ujarnya menutup kata.

EYKA me­ngakui agak kecewa apabila terpaksa melepaskan peluang meneruskan penglibatan dalam siri Pretty Little Liars musim kedua di Indonesia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI