LONDON – Seorang pegawai sebuah gereja di Britain terkejut apabila menerima kiriman berupa sebuah buku yang telah dipinjam dari perpustakaan gereja tersebut lebih 300 tahun lalu, lapor laman berita United Press International semalam.
Keith Farrow yang merupakan Naib Dekan di Gereja Sheffield berkata, buku yang dicetak pada tahun 1704 itu dikirim menerusi pos yang turut disertakan dengan sekeping nota daripada seorang wanita yang memberitahu asal usulnya.
“Saya menemui buku ini bersama-sama barangan kepunyaan pemiliknya, seorang wanita yang telah meninggal dunia.
“Dia mewasiatkan agar buku ini dipulangkan kepada Gereja Sheffield,” tulis nota tersebut.
Menurut Farrow, buku yang mempunyai tarikh 1709 pada bahagian dalam itu ditulis dengan amat menarik.
“Pada buku ini turut tertulis ia dipinjam dari perpustakaan di Gereja Sheffield. Jadi, saya berpendapat buku ini dipinjam dan tidak dipulangkan,” ujarnya.
Perpustakaan di gereja tersebut merupakan salah satu lokasi setempat yang popular sehingga ia dirobohkan pada tahun 1800-an. – AGENSI