LONDON – Arsenal dilaporkan sedang bertungkus lumus menguatkan pasukan untuk kembali bersaing dalam kelompok teratas menghadapi saingan musim baharu Liga Perdana England (EPL) yang akan bermula 14 Ogos depan.
Terbaharu, Arsenal dikatakan telah mengemukakan tawaran ketika bernilai £54 juta (RM311.45 juta) kepada pemain pertahanan tengah Brighton, Ben White.
Difahamkan, pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak sanggup terlepas peluang untuk menandatangani bek tengah England berusia 23 tahun itu yang dilihat berpotensi menjadi kapten The Gunners pada masa depan.
Ia selepas saham White mencanak naik ketika ini dengan banyak pasukan EPL turut menyatakan minat mereka antaranya Everton, Manchester City, Chelsea, Manchester United dan Liverpool.
Selain White, The Gunners didakwa masih tidak berputus asa dan berharap dapat mengikat khidmat bintang Itali yang beraksi dengan Sassuolo, Manuel Locatelli meskipun berdepan tentangan sengit daripada Juventus.
“Kami telah berjumpa dengan wakil Juventus tetapi segalanya masih samar. Kami juga ada terima tawaran menarik daripada satu kelab luar Itali,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sassuolo, Giovanni Carnevali
Dalam masa sama, Arsenal turut memburu dua lagi pemain untuk menguatkan bahagian tengah seperti bintang Lyon, Houssem Aouar bernilai £25 juta (RM144.19 juta) dan Marcel Sabitzer dari RB Leipzig yang berharga £17 juta (RM98.05 juta).
Pasukan berpangkalan di Emirates, utara London itu juga sedang menanti masa untuk mengumumkan dua pembelian baharu mereka iaitu Albert Sambi Lokonga dan Nuno Tavares masing-masing daripada Anderlecht serta Benfica. – AGENSI