fbpx

Argentina perlu lunas impian Messi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARGENTINA berkobar-kobar untuk menamatkan penantian selama 28 tahun mereka untuk meraih kejuaraan selepas kali terakhir memenangi Copa America pada 1993. – AFP

RIO DE JANEIRO – Kejayaan Argentina mara ke pentas perlawanan akhir Copa America 2021 kali ini membawa sejuta harapan bukan sahaja buat para peminat mereka tetapi untuk bintang sensasi, Lionel Messi.

Turun menentang Brazil pada aksi di Stadium Maracana pagi esok menjadi aksi keempat buat Messi beraksi di pentas final Copa America selepas 2007, 2015 dan 2016 yang berakhir dengan keputusan yang mengecewakan buat La Albiceleste.

Kali ini, Argentina akan berada di pentas final sekali lagi untuk menamatkan kemarau panjang selepas kali terakhir pasukan itu meraih kejuaraan adalah 1993 ketika memenangi saingan Copa America yang berlangsung di Ecua­dor.

Bagi Messi pula, segala-gala­nya sudah dimiliki dalam kerjaya, namun ramai yang menganggap ia belum sempurna selagi dia gagal me­raih kejayaan bersama pasukan kebangsaan dan ini adalah peluang terbaik buatnya untuk membuktikan bahawa dia adalah yang terbaik.

“Apa yang benar-benar saya inginkan dalam kerjaya adalah memenangi gela­ran bersama pasukan kebangsaan.

“Kami meletakkan sasaran yang tinggi. Kami berjaya mencapai objektif pertama iaitu untuk mara ke pentas final. Sekarang kami akan memasang cita-cita untuk memenangi gelaran pada saingan kali ini,” kata Messi.

Sementara itu, hero aksi separuh akhir buat Argentina, Emi­liano Martinez juga turut me­ngakui bahawa Argentina tidak mahu lagi pulang dengan tangan kosong dan tidak rela untuk kecewa buat kesekian kalinya selepas mereka juga kempunan apabila tewas di pentas final Piala Dunia 2014 lalu kepada Jerman.

Martinez berjaya mempamerkan aksi cemerlang di separuh akhir selepas menyelamatkan tiga sepakan dalam penentuan sepakan penalti ketika menentang Colombia pada aksi separuh akhir sekali gus membolehkan skuad kendalian Lionel Scaloni itu menempah slot final.

“Saya meninggalkan rumah untuk menikmati momen seperti ini. Secara jujurnya, saya tidak ada perkataan untuk menggambarkan perasaan ketika ini.

“Kami berada di sini sejak hampir 40 hari lalu dan ‘terkurung’. Ia tidak melemahkan kerana tujuan kami berada di sini adalah untuk melunaskan impian yang sudah lama tersimpan.

“Sejak hari pertama tiba, kami sudah berjanji kepada diri sendiri untuk bermain di pentas final dan apa yang lebih baik adalah menentang Brazil di tempat mereka sendiri.

“Mereka adalah pasukan yang baik, pilihan untuk memenangi kejuaraan sejak hari pertama lagi tetapi kami memiliki jurulatih yang baik dan barisan pemain terbaik di dunia. Kami akan memenanginya kali ini,” jelasnya.
–AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI