fbpx

Wanita Afghanistan pikul mesingan, pelancar roket mahu perangi Taliban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita Afghanistan memikul mesingan ketika keluar ke jalanan sambil melaungkan slogan anti-Taliban. – Twitter

KABUL, AFGHANISTAN – Beratus-ratus wanita Afghanistan keluar ke jalanan di seluruh negara dengan membawa mesingan dan pelancar roket sebagai tanda kesanggupan mereka bertempur dengan pejuang Taliban, lapor akhbar The Sun semalam.

Tindakan nekad itu diambil selepas kumpulan Taliban melancarkan siri keganasan sejak beberapa minggu lalu dan telah menguasai satu perempat kawasan di Afghanistan.

Penduduk Afghanistan kembali bimbang tentang kemunduran sekiranya berada di bawah pemerintahan Taliban yang melaksanakan hukuman tegas seperti memancung dan menyeksa pesalah.

Perkembangan itu mendorong wanita negara itu bangkit mengangkat senjata dan keluar ke jalanan sambil melaungkan slogan anti-Taliban.

“Ada antara wanita tampil sekadar mahu memberikan semangat kepada anggota pasukan keselamatan, namun ramai antara mereka sememangnya bersedia untuk ke medan perang.

“Ini termasuk diri saya sendiri. Saya dan ramai wanita lain memberitahu gabenor kami pada bulan lepas bahawa kami bersedia bertempur,” kata Ketua Direktorat Wanita Wilayah Ghor, Halima Parastish.

Sebelum ini, kumpulan Taliban dilaporkan kembali melarang wanita daripada keluar rumah tanpa ditemani mahram selain memperkenalkan peraturan baharu melibatkan mas kahwin.

Di sebuah kawasan yang telah ditakluki oleh kumpulan tersebut, turut bertebaran risalah yang mengarahkan wanita memakai purdah.

Sementara itu, seorang wanita berumur dalam lingkungan 20-an berkata, dia hanya ingin menyambung pengajiannya dan tidak mahu hidup diselubungi keganasan.

“Keadaan telah membuatkan saya dan wanita-wanita lain bangkit untuk melawan.

“Saya tidak mahu negara ini berada di bawah kawalan mereka yang melayan golongan wanita seperti mana mereka pernah lakukan. Justeru, kami mengangkat senjata dan jika perlu berlawan, kami akan melakukannya,” ujarnya.

Sebelum ini, Taliban telah melaksanakan undang-undang tegas ketika pemerintahannya di Afghanistan sebelum digulingkan tentera Amerika Syarikat yang menakluk negara itu pada tahun 2001.

Pentadbiran Presiden Joe Biden bagaimanapun telah memanggil pulang semua tentera AS dari negara itu dengan pasukan terakhir telah meninggalkan Afghanistan pada Jumaat lepas. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI