PASIR MAS – Polis merampas sebanyak 60 kotak ayam beku bernilai RM6,840 di dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di Jalan Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah di sini semalam.
Rampasan pada pukul 7.30 pagi itu dilakukan selepas anggota polis melihat sebuah kereta jenis Perodua Myvi ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya menjalankan pemerhatian selama lebih 30 minit, namun tiada individu yang tampil mendekati kereta tersebut.
Katanya, anggota polis telah melakukan pemeriksaan sebelum menemui sebanyak 60 kotak ayam sejuk beku di dalam kereta itu.
“Siasatan awal mendapati, ayam beku ini diseludup masuk dari negara jiran melalui pengkalan haram.
“Kereta dan semua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, kesemua barangan rampasan diserahkan akan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929