SHAH ALAM – Seorang suspek lelaki yang meninggal dunia selepas menetak anak saudaranya di Kuala Selangor dekat sini sebelum ini dikatakan mengalami kecederaan selama tiga jam sebelum kematiannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ini berdasarkan laporan bedah siasat diterima pihaknya dalam mengenalpasti punca kematian lelaki tersebut.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan sebab kematian tersebut, kita dimaklumkan adalah kecederaan dialami pada badannya dengan kecederaan dikatakan masanya melebihi tiga jam sebelum kematiannya.
“Perkara ini perlu diteliti dahulu dari segi kesan (kecederaan) dan kenyataan daripada pihak berkenaan. Kita tidak boleh terus buat kesimpulan atas laporan (bedah siasat) tersebut,” katanya pada sidang akhbar secara maya hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya telah merekod semua keterangan daripada mereka terlibat dan kes tersebut dianggap rumit apabila suspek turut menjadi mangsa selain kanak-kanak perempuan itu.
“Tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan kita mahu betul-betul faham dan meneliti sebab kematian diberikan itu,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang menetak anak saudaranya berusia 20 bulan sehingga maut sebelum ini disahkan meninggal dunia pada 4 Julai lalu.
Suspek berusia 27 tahun itu meninggal dunia kira-kira pukul 6.37 petang hari kejadian selepas menerima rawatan selama 30 minit di Hospital Tanjong Karang. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929