PASIR GUDANG – Pencemaran yang berlaku di Sungai Kopok, Kampung Perigi Acheh di sini sejak Khamis lalu dipercayai akibat buangan sisa bahan kimia telah menjejaskan seramai 70 nelayan dan lima pengusaha penternakan kupang di kawasan berkenaan.
Ketua Kampung Perigi Acheh, Othman Adon berkata, air sungai berkenaan dikesan bertukar kehitam-hitaman sejak seminggu lalu, selain turut mengeluarkan bau busuk.
Katanya, penduduk kampung berkenaan percaya kejadian itu berlaku akibat daripada pembuangan sisa kimia dari Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini.
“Kampung ini mempunyai seramai 535 penduduk daripada 135 buah rumah yang mana majoriti daripada mereka adalah nelayan sungai dan laut, manakala selebihnya bekerja di kilang berhampiran atau bekerja sendiri.
“Namun disebabkan sungai ini tercemar, sudah seminggu nelayan kampung ini tidak dapat keluar menangkap ikan walaupun ada antara mereka tetap mencuba namun bimbang untuk menjual hasil berkenaan kerana takut menyebabkan keracunan,” katanya kepada pemberita.
Sabtu lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Facebooknya memberitahu, pihaknya menerima aduan berlaku pencemaran di Sungai Kopok, sehubungan itu JAS Cawangan Pasir Gudang sudah turun ke lokasi untuk menjalankan siasatan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929