PETALING JAYA – Pernah dikecam selepas didakwa berkahwin secara rahsia pada April lalu, kontroversi tersebut bukan penghalang untuk suami kepada pelakon Serina Redzuawan iaitu Meor Mohammad Aidid Meor Jamaluddin untuk penghargaan dalam kerjaya kepolisannya.
Kejayaan Aidid itu dikongsi sendiri oleh Serina, 38, menerusi satu hantaran Instagram hari ini berserta dengan ucapan manis buat suaminya yang merupakan seorang pegawai polis.
Difahamkan, sijil penghargaan tersebut dianugerahkan kepada Aidid selepas memberi prestasi cemerlang dalam tugasnya.
“Tahniah suamiku tersayang, terima sijil penghargaan atas tugas cemerlang. Di mana ada kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita di belakangnya, iaitu ibu dan isteri yang sentiasa mendoakan keselamatan mereka.
“Saya akan selalu menyokong kerja dan sangat berbangga dengan awak, Darling,” tulis anak kepada chf selebriti terkenal, Datuk Chef Wan.
Dalam hantaran sama, bekas pengacara Jalan-Jalan Cari Makan itu turut memuji dan memandang tinggi dengan pengorbanan anggota polis.
“Bertugas menjaga keamanan demi keselamatan rakyat dan menabur bakti merupakan perjuangan anggota polis yang mulia.
“Syabas kepada semua anggota polis yang telah berkorban masa, bersengkang mata bagi memastikan kedaulatan negara terus aman dan damai,” katanya.
Menerusi perkongsian tersebut, Serina turut memuat naik beberapa keping gambar dia bersama Aidid yang lengkap berpakaian seragam polis serta momen ketika suaminya menerima sijil penghargaan.
Untuk rekod, pada 9 April lalu, Serina mengesahkan dirinya selamat bergelar isteri buat kali kedua menerusi sebuah entri dalam Instagramnya.
Bagaimanapun, Serina tidak berkongsi lanjut mengenai majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di sebuah negeri di utara tanah air.
Pernikahan kali kedua Serina itu turut mencetuskan kemarahan bapanya kerana mendakwa tidak mengetahui anak sulungnya itu telah berkahwin.
Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10. – K! ONLINE