PUTRAJAYA – Rakyat terus melahirkan kekecewaan di media sosial apabila kes jangkitan harian Covid-19 terus meningkat kepada 8,868 kes semalam.
Seorang pengguna Facebook bernama Diey Shuhada berkata, rakyat sudah ‘berkurung’ di rumah lebih sebulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 Jun lalu, malah pergerakan semakin terbatas di Kuala Lumpur dan Selangor yang melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD).
“Lebih baik tutup semua operasi perniagaan terutama kilang selama dua minggu, jangan bagi sesiapa pun keluar rumah,” katanya.
Berkongsi pendapat sama ialah Sufi Mohd. yang turut menyifatkan usaha rakyat untuk melandaikan keluk jangkitan sejak lebih sebulan lalu seolah-olah tidak menunjukkan hasil.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Ana Kecik pula melahirkan kebimbangan setelah hospital dan pusat kuarantin dilaporkan sudah padat sehingga terdapat pesakit yang perlu dikuarantin di rumah masing-masing.
Bagaimanapun, Abdullah Omar berpendapat, kes jangkitan harian yang masih tinggi ketika ini berkemungkinan hasil daripada saringan secara bersasar di kawasan PKPD.
“Kes ini juga tinggi mungkin disebabkan ujian calitan yang dilakukan secara besar-besaran di kawasan PKPD.
“Macam di Mentari Court (Petaling Jaya), hasil ujian saringan, ramai yang tinggal di kediaman itu disahkan positif, sebab itu kes positif terus meningkat ketika ini,” ujarnya. -K! ONLINE